Hospital Pakar Wanita An-Nur Menghilangkan Rasa Marah

Hari ini aku ke pejabat seperti biasa. Jam 6.50 pagi aku turun dari rumah menuju ke pejabatku di Kompleks D. Selepas mengetik kad aku kembali turun ke kafeteria untuk sarapan pagi. Jam baru menunjukkan 7.10 pagi dan belum banyak pilihan makanan untuk dipilih kerana rata-rata peniaga-peniaga masih sedang menyiapkan masakan mereka. Aku memilih sarapan yang agak berat; mi goreng dengan ayam goreng dan teh tarik.

Selesai sarapan aku terus kembali naik ke pejabatku di aras 4. Aku memasang lampu bilik (sebelum ni tiada suis lampu dan lampu sentiasa terpasang) dan hidupkan komputerku lalu melihat-lihat apa yang perlu aku siapkan sebelum keluar ke Hospital Pakar Wanita An-Nur di Bangi. Aku terus mengetuk-ngetuk papan kunci komputerku sepantas termampu untuk menyiapkan segala laporan lebih cepat daripada biasa.

Jam 9.30 pagi telefon bimbitku berdering. Isteriku mengingatkan bahawa hari ini dia ingin aku menemaninya ke Hospital Pakar Wanita An-Nur untuk pemeriksaan. Aku mengiyakan dan terus menyiapkan beberapa laporan yang masih berbaki. Sememangnya waktu-waktu begini isteriku perlu ditemani untuk menjalani pemeriksaan. Sudah 39 minggu usia kandungan membuatkan aku tidak sabar menanti kehadiran 'anggota baru' dalam keluargaku.

Jam 10.30 pagi aku turun dari pejabat menapak ke arah tempat parkir motosikal. Aku sempat menghantar sms kepada bosku memaklumkan yang aku keluar sebentar menemani isteriku ke klinik. Sampai di rumah isteriku sudah menunggu. Kami terus ke menuju ke Bangi menaiki kereta kecil kami, VIVA. Dalam perjalanan aku sempat mengerling di bawah sebuah jejantas di jalan utama keluar dari Putrajaya. Seorang polis trafik sedang bergaya dengan sebuah kamera, menembak lensa kameranya ke arah nombor pendaftaran kereta yang dipandu melebihi had laju. Aku hanya tersenyum. Mujur aku baru turun dari susur berhampiran dengan jejantas tersebut dan semestinya aku memandu dengan perlahan waktu itu.

Jam 11 pagi kami tiba di Bangi. Isteriku terus mendaftar di kaunter pendaftaran. Petugas di kaunter pendaftaran bertanya jika isteriku ada membuat temu janji terlebih dahulu. Isteriku memberitahu bahawa temu janji yang dibuat sepatutnya pada hari esok tetapi memandangkan esok dia bertugas pada waktu pagi maka kami datang hari ini.

Sambil menunggu giliran mataku melilau ke arah ibu-ibu yang sarat mengandung menunggu giliran masing-masing. Macam-macam karenah anak-anak kecil yang dibawa menyerikan ruang menunggu di Hospital Pakar Wanita An-Nur itu. Sejam berlalu aku mula gelisah. Lambat benar giliran isteriku dipanggil. Namun aku tetap bersabar.

Aku mengerling ke arah jam tanganku. Sudah jam 1.30. Tinggal 4 orang kini menunggu giliran. Hatiku mula rasa panas. Sudah beberapa orang yang datang selepas isteriku telah selesai berjumpa doktor namun nama isteriku belum dipanggil. Walaupun kami datang tanpa temu janji tapi sudah terlalu lama kami menunggu. Apakah ingin selesaikan semua senarai yang ada temu janji walaupun datang lewat baru dilayan kami yang tidak ada temu janji yang datang lebih awal? Sungguh tidak adil.



Aku sudah tidak sabar lagi. Jam sudah menunjukkan jam 2 petang. Alih-alih orang lain juga yang dipanggil masuk jumpa doktor. Akhirnya kami bangun dan terus ke kaunter pendaftaran. Kami sudah tidak boleh tunggu lagi kerana isteriku akan mula bertugas jam 3 petang. Aku pun sudah lama benar keluar dari pejabat. Macam mana nanti kata kawan-kawan lain di pejabat aku hilang begitu lama. Geram sungguh aku dibuatnya. Isteriku memberitahu petugas di kaunter bahawa kami terpaksa batalkan hasrat kami untuk berjumpa doktor kerana masa tidak mengizinkan. Namun petugas tersebut memberitahu yang giliran isteriku adalah yang berikutnya. Tinggal seorang ibu yang sedang diperiksa sebelum giliran isteriku. Lalu kami kembali duduk. Dalam hati tuhan sahaja tahu rasa geram. Bayangkan 3 jam kami menunggu.

Sampai giliran nama isteriku dipanggil, aku membiarkan isteriku terlebih dahulu masuk. Kemudian baru aku masuk dengan rasa geram. Rasa mahu hempas saja daun pintu bilik pemeriksaan itu. Kemudian doktor tersebut mula memeriksa kandungan isteriku. Katanya kandungan isteriku berada dalam keadaan baik dan bayi dalam kandungan sihat. Doktor tersebut mula melakukan 'scanning' pada perut isteriku. Waktu itu doktor tersebut menunjuk kepadaku denyutan jantung, kaki dan tangan bayi dalam kandungan. Aku cuma mampu tersenyum. Kemudian tiba satu ketika doktor tersebut berjaya mencari kedudukan kepala dan wajah anakku yang masih dalam kandungan isteriku itu. Amat jelas walaupun hanya 'scan'. Aku tersenyum lebar. Nampak jelas benar hidung dan mulutnya. Waktu itu rasa marah akibat lama menunggu giliran sudah lesap ditelan rasa gembira. Gembira kerana dapat melihat wajah 'permataku' yang ku nanti-nantikan kehadirannya di dunia ini. Gembira kerana jelas dari paparan skrin menunjukkan hidungnya bakal mengalahkan hidungku.

Jam 2.30 petang kami bertolak balik ke Putrajaya. Aku tersenyum lebar sepanjang perjalanan itu. Rasa geram dan marah kerana lama masa yang terpaksa diambil untuk pemeriksaan tersebut lenyap sama sekali. Kini baru ku sedar betapa gembiranya menjadi seorang ayah menanti kehadiran cahaya matanya. Baru ku sedar bagaimana kasih seorang ayah kepada seorang anaknya. Walaupun bayi masih dalam kandungan namun gembira dan rasa sayang sudah tidak terhingga. Apatah lagi apabila seorang anak dilahirkan dan dibesarkan hingga dewasa.

Jam 3.10 petang aku tiba di pejabat. Aku menyerahkan 'time slip' ke bahagian 'admin'. Aku terus menyambung tugasan sambil jauh di sudut hatiku tidak sabar menantikan kehadiran cahaya mata sulungku.

1 comments:

khairi said...

sekadar berkongsi..kalau ke annur kena buat appoinment, kalau tak, alamatnya kena lama tunggu....
annur ramai org pergi itu yg kena appoinment..
jgn marah..itu prosedur...saya pernah juga tunnggu sampai 5 jam...
apa2 pon kena appoimnet..
2 org anak saya lahir di anur..dan sorang di azzahrah..tapi doctor yg sama..

Post a Comment